KOTA BHARU – Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul ejen perumahan sehingga mengalami kecederaan parah di sebuah tapak pembinaan di Pasir Tumboh dekat sini pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Syahril Md. Aziz, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Abdullah Abdul Rahman, 43, menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan patah.
Perbuatan itu dilakukan di tapak kerja di Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh di sini kira-kira pukul 10.45 pagi pada 12 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Marini Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam,Azhar Ahmad.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE