KUALA LUMPUR – Konsep pajakkan bagi memperolehi aset baharu bagi semua agensi keselamatan negara iaitu 28 buah helikopter ternyata lebih praktikal dan jimat berbanding konsep perolehan terus atau beli.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara paling penting dalam perolehan aset-aset baharu itu adalah termasuk kewajaran, kesediaan serta kesiapsiagaan aset tersebut apabila diperolehi ATM nanti.
“Jika kita nak tunggu bajet terus dari kerajaan, mungkin 28 buah helikopter ini lambat atau langsung kita tidak dapat. Aset-aset ketenteraan ini amat penting kerana kita tidak mahu ada jurang dengan negara-negara lain.
“Jadi, konsep pajakkan adalah konsep terbaik yang boleh kita guna. Semua kos termasuk penyelenggaraan nanti akan ditanggung oleh syarikat yang dilantik, itu boleh menjimatkan kerajaan,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, pandangan yang diutarakan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang menyatakan kaedah beli terus yang digunapakai oleh kerajaan Poland bagi memperoleh 32 buah biji helikopter dangan harga RM8.5 bilion, jelas Khalid, Malaysia tidak perlu ikut cara tersebut.
“Yang pertama, Poland tandatangan perjanjian itu pada 2022, manakala kita akhir tahun lalu. 32 buah heliopter itu dibeli terus, hanya dapat aset sahaja.
“Kita berkemungkinan dapat harga RM 7.5 bilion berbanding bajet kerajaan RM16.5 untuk 28 buah helikopter secara pajak.
“Kita akan dapat insurans bagi setiap pilot dan penumpang. Malah syarikat yang dilantik itu juga perlu memastikan aset baharu kita dalam 85 peratus tahap kesiapsiagaan untuk menjalankan misi,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi keselamatan negara yang lain akan mengoperasi 28 buah helikopter menerusi kaedah pajakan.
Bercakap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat pada minggu lalu, beliau berkata, perolehan secara pajakan helikopter-helikopter itu melibatkan kontrak bernilai RM16.5 billion untuk tempoh 15 tahun.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jenis helikopter yang dipajak oleh kerajaan mahupun syarikat yang terlibat dalam kontrak pajakan itu. – KOSMO! ONLINE.