KUALA LUMPUR – Melihat ramai penyanyi ‘berlumba-lumba’ menyanyi lagu nada tinggi untuk persembahan pentas, vokalis hebat tanah air, Jaclyn Victor menasihatkan agar mereka tahu kadar kemampuan masing-masing.
Jaclyn atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor berkata, menyanyi tanpa teknik yang betul boleh merosakkan pita suara seseorang seperti apa diutarakan jurulatih vokal, Datuk Syafinaz Selamat.
“Seseorang penyanyi itu berpotensi untuk merosakkan vocal cord (pita suara) andai menyanyi nada tinggi secara berlebihan. Kena tahu kemampuan diri.
“Kalau selalu sangat nyanyi nada tinggi, suara akan jadi serak atau boleh merosakkan cord. Kita nak pakai sampai tua.
“Macam masalah nodul dan polip dalam tekak selalu terjadi kepada penyanyi yang selalu sangat menggunakan suara (nada tinggi),” ujarnya pada majlis pelancaran album terbaharu, Glorious di sini, semalam.
Tahu kemampuan diri, pelantun lagu Satu Harapan itu memaklumkan, pengalaman menyanyi di kelab malam memberi pengajaran buat dirinya agar tahu bagaimana cara untuk menjaga kesihatan terutama melibatkan pita suara.
“Saya sendiri tak nak ‘kalah’, semua nak nyanyi key original. Dulu zaman Malaysian Idol, satu malam boleh nyanyi 30 lagu tiada masalah sebab menyanyi di kelab.
“Selepas bergelar artis rakaman, mana ada buat ‘show’ nyanyi 30 lagi melainkan untuk konsert sendiri.
“Nasihat saya, know your body (tahu kemampuan badan). Jangan nyanyi tinggi-tinggi sampai hilang suara. Dapatkan rehat secukupnya agar boleh terus menyanyi sampai bila-bila,” katanya.
Jaclyn diminta mengulas tentang trend semasa penyanyi tempatan yang cenderung menyanyi nada tinggi dan itu dijadikan sebagai ‘tiket’ untuk mereka menonjol dalam sesebuah pertandingan berprestij.
Dalam pada itu, juara Malaysia Idol musim pertama itu kini hadir dengan album baharu berjudul Glorious yang memuatkan sembilan lagu termasuk Lepaskan Saja, Kejutkan Aku, Sesal Tak Bermakna dan Racun.
“Album ini sangat istimewa buat saya. Hadiah buat peminat sempena 20 tahun perjalanan saya dalam industri seni tanah air. Dapat banyak respons baik tentang lagu Glorious (Gemilang versi Inggeris). Saya bersyukur masih boleh menyanyi sehingga ke hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE