SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh baharu keputusan representasi seorang pemandu lori yang memandu di bawah pengaruh dadah berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Nilai di sini pada 27 September lalu.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Intan Noorashikin Nasarudin memaklumkan belum menerima keputusan tersebut daripada pihak pembelaan.
Peguam, R S Kerthinee yang mewakili tertuduh, Jimhar Albasar, 31, berkata, beliau cuba berjumpa dengan anak guamnya di Penjara Jelebu, namun diberitahu dia telah dipindahkan ke penjara lain.
Beliau kemudian memohon tarikh baharu untuk keputusan representasi terbabit.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Nissan didapati memandu kenderaan itu di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 31 tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4.15 petang di Jalan Persiaran Negeri di Nilai di sini pada 27 September lalu.
Sebelum ini, media melaporkan pada 1 Oktober lalu, pemandu lori, Jimhar Albasar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu wanita di Nilai, pada 27 September lalu.