GEORGE TOWN – Sebuah kedai kopi berkonsepkan medan selera di Pulau Tikus di sini telah diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dalam satu operasi yang dijalankan petang semalam.
Jurucakap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, arahan penutupan premis yang berkuat kuasa semalam itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) 1991, UUK 38(1).
“Hasil pemeriksaan oleh pegawai bertugas mendapati premis tersebut mendapat markah penilaian kebersihan yang rendah, selain penemuan najis tikus dan lipas di dalam kawasan operasi.
”Lebih membimbangkan, salah satu gerai yang menyewa di medan selera itu juga berada dalam keadaan uzur dan mengeluarkan bau yang meloyakan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dalam operasi sama, pegawai Jabatan Pelesenan MBPP turut memberikan teguran serta khidmat nasihat kepada pengusaha medan selera tersebut.
“Antara tindakan yang disyorkan termasuk kawalan serangga secara berkala, penyediaan perangkap minyak yang sempurna, penggantian bumbung gerai yang uzur serta pematuhan larangan penggunaan penyedut minuman plastik.
“MBPP memberi jaminan bahawa pemantauan terhadap tahap kebersihan premis makanan akan dilakukan secara berterusan,” katanya.
Tambahnya, semua pengusaha makanan dinasihatkan untuk menitikberatkan aspek kebersihan, terutama di bahagian dapur, stor penyimpanan bahan mentah dan sistem perangkap minyak bagi memastikan makanan yang disediakan selamat untuk pelanggan. -KOSMO! ONLINE