fbpx

KBS salur RM20 juta bantu 8 jenis sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBANYAK RM20 juta bakal disalurkan kepada lapan jenis sukan untuk Program Pembangunan Sukan Olimpik.

PETALING JAYA – Bagi mengelakkan Malaysia kekurangan atlet pelapis, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan dana khas sebanyak RM20 juta untuk memperkasa pembangunan bakat terutamanya dalam lapan sukan terpilih melalui program Pembangunan Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dana khas untuk pembangunan bakat tersebut itu akan disalurkan kepada lapan jenis sukan yang terpilih itu ialah terjun, renang, memanah, taekwondo, badminton, skuasy, basikal dan olahraga.

Katanya, dana tersebut bertujuan menampung keperluan latihan, pendedahan pertandingan, serta pembangunan bakat dari peringkat akar umbi yang berpotensi untuk diketengahkan ke temasya Sukan Olimpik pada masa akan datang.

“Selalunya kita dengar keluhan kenapa bola sepak menerima banyak dana, sedangkan sukan Olimpik lain kurang mendapat perhatian. Jadi, selepas melihat bajet sedia ada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN). Kita membuat keputusan untuk memohon dana tambahan daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi pembangunan bakat dalam lapan sukan Olimpik yang terpilih.

“Kita mahu memastikan ada kesinambungan atlet, supaya tidak berlaku ketandusan bakat. Program Podium sahaja tidak mencukupi, maka dana ini akan digunakan untuk mengenal pasti dan membangunkan lebih ramai atlet pelapis,” katanya selepas sesi perasmian bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik, hari ini.

Hannah menegaskan bahawa peruntukan tersebut tidak akan diagihkan secara sama rata kepada semua sukan kerana keperluan setiap pasukan berbeza-beza.

“Kita mahu memastikan setiap perbelanjaan dibuat secara teliti dengan penglibatan jurulatih kebangsaan, pakar sukan, serta persatuan sukan yang berkaitan. Hari ini kita adakan bengkel untuk mendengar pandangan mereka.

“Sebahagian daripada dana ini akan digunakan untuk menganjurkan lebih banyak pertandingan di peringkat domestik, memberi lebih banyak pendedahan kepada atlet dan melahirkan kumpulan atlet elit yang lebih besar,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya inisiatif ini berjaya membuktikan keberkesanannya, dana yang diperuntukkan boleh ditambah pada masa hadapan.

“RM20 juta ini mungkin tidak mencukupi, tetapi ia lebih baik daripada tiada langsung. Jika kita dapat menunjukkan hasil yang positif, saya yakin Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan untuk menambah peruntukan pada masa hadapan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI