GEORGE TOWN – Bapa kepada seorang kanak-kanak 10 tahun yang dilaporkan kritikal setelah mengalami sesak nafas akibat tertelan gula-gula gummy eye ball kelmarin, hanya mengharapkan keajaiban berlaku terhadap anak kesayangannya itu.
Mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, kini masih berada dalam keadaan tenat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Bapanya, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, dia dan isteri, Nuraini Mohamad Isa, 37, tidak menyalahkan sesiapa pun dalam kejadian yang menimpa anaknya sebaliknya hanya meminta orang ramai mendoakan agarnya anaknya kembali pulih seperti sedia kala.
“Saya hanya minta doa sahaja, bukan simpati. Doakan anak saya agar ada keajaiban Allah berlaku.
“Saya tidak salah dari segi makanan anak saya. Walaupun kita makan nasi pun boleh tersedak, benda macam itu boleh berlaku. Saya tak salahkan sesiapa, saya maafkan semua,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di HPP, di sini hari ini.
Dalam kejadian kelmarin, Mohammad Fahmi Hafiz dipercayai membeli dua biji gula-gula gummy di sebuah gerai sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah kebangsaan di Butterworth.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa dikatakan tercekik coklat tersebut dan mengalami kesukaran bernafas, namun sempat berjalan ke arah guru sebelum rebah secara tiba-tiba.
Mohammad Fakhruddin yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata, tekanan darah dan oksigen anaknya sudah menurun dan mengakui peluang unutk menyelamatkan anaknya memang tipis. – KOSMO! ONLINE