fbpx

Kad merah ‘bunuh’ perjuangan Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HERNANDEZ (kanan) diarahkan meninggalkan padang oleh pengadil selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-51. - AFP

MILAN – AC Milan mengawal sepenuhnya perlawanan menentang Feyenoord dalam aksi playoff kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di San Siro awal pagi semalam, namun kad merah Theo Hernandez mengubah segala-galanya buat jaguh Itali itu.

Meskipun kesilapan Hernandez menjadi titik perubahan perlawanan, namun pengendali Milan, Sergio Conceicao enggan menyalahkan pemain pertahanan terhadap kegagalan ke pusingan 16 terbaik apabila tewas 1-2 secara agregat.

Ia susulan Milan hanya mampu seri 1-1 dengan Feyenoord dalam aksi itu, sekali gus gagal mengubah defisit setelah tewas 0-1 sewaktu playoff pertama di Belanda minggu lalu.

“Ia sememangnya satu kegagalan kerana kami mahu ke pusingan 16. Kami lebih kuat daripada lawan, tetapi keputusan ini ditentukan oleh insiden tertentu, sama seperti di Zagreb, di mana pemain kami juga dibuang padang,” kata Conceicao.

Milan sebenarnya boleh mengelak perlawanan playoff tersebut jika menang aksi terakhir fasa liga menentang Dinamo Zagreb sebelum ini, namun ketika itu mereka kehilangan Yunus Musah disebabkan kad merah.

“Anda boleh kata pengadil (Szymon Marciniak) terlalu tegas, tetapi kami sepatutnya lebih kuat dari segi mental. Saya yang bertanggungjawab, bukan Theo (Hernandez).

“Theo telah banyak menyumbang kepada Milan dan saya sendiri pernah melakukan banyak kesilapan dalam karier. Sehingga kad merah itu, Feyenoord langsung tidak tahu bagaimana untuk menyerang gawang kami,” tambah Conceicao.

Tersingkir dari kancah UCL pastinya satu tamparan hebat buat Milan yang kini berdepan cabaran membina semula keyakinan pasukan dan perlu segera mencari jalan untuk kembali ke prestasi terbaik jika mahu mengelak musim ini menjadi satu lagi episod kekecewaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN