KUALA TERENGGANU – Pengunjung pantai peranginan di sekitar Terengganu pada penghujung musim tengkujuh ini diingatkan agar berhati-hati daripada memijak atau menyentuh Portuguese man o’ war atau dikenali sebagai ubur-ubur api yang berbisa.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd. Zul Khairi Shamsuddin berkata, sengatan ubur-ubur api masih berbisa dan berbahaya kepada manusia walaupun sudah mati menjadi bangkai.
“Pemantauan kita mendapati Portuguese man o’ war ditemui terdampar di sebahagian pantai peranginan negeri ini sepanjang tempoh permulaan Monsun Timur Laut (MTL) sehingga 29 Januari lalu.
“Antaranya Pantai Rhu Sepuluh, Setiu; Pantai Pulau Kekabu, Marang; Pantai Keluang, Besut dan Pantai Batu Burok di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zul Khairi berkata, kewaspadaan terkena sengatan ubur-ubur api telah dipertingkatkan memandangkan semakin ramai mula mengunjungi pantai peranginan Terengganu pada penghujung musim tengkujuh ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Roswati Md. Amin pula berkata, Portuguese man o’ war masih boleh terdampar di pesisir pantai negeri ini sehingga bulan depan.
“Sekiranya terkena kepada manusia, ia boleh menyebabkan masalah penafasan, pening kepala dan kekejangan bergantung kepada dos sengatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE