KUALA LUMPUR – “Saya mahu ibu bapanya datang minta maaf.”
Demikian kata pelakon senior, Ellie Suriati Omar selepas dituduh hisap batu (dadah) dan merendahkan kredibilitinya sebagai anak seni dalam dua video parodi pempengaruh Imran Bard.
Ellie, 54, memberi tempoh seminggu kepada Imran dan orang tuanya membuat permohonan maaf sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya telah bekerja lebih 30 tahun tetapi dalam dua video parodi saya telah diaibkan dengan sengaja. Siapa dia (Imran) untuk saya berjumpa?
“Sebab dia biadab, maka wajarlah saya meminta ibu bapa dia sendiri datang meminta maaf kerana dia tidak faham tentang adab.
“Kalau dia bijak, secepat mungkin dia akan datang kepada saya memohon maaf,” ujar Ellie dalam sidang media menjelaskan isu difitnah seorang Tiktoker di sini, hari ini.
Pelakon filem Memoir Seorang Guru itu juga telah membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang pada 16 Februari lalu.
Tambah Ellie, beliau dan keluarga mengalami tekanan sehingga tidak boleh tidur berhari-hari selepas video yang dimuat naik pada 12 Februari lalu menjadi viral dan meraih jumlah tontonan 1.3 juta.
Selepas berbincang dengan pihak peguam Ellie bagaimanapun tidak meletakkan sebarang nilai andai mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Imran Bard.
“Memang saya boleh saman. Maruah saya dipijak-pijak dan saya menjadi bahan ketawa netizen selepas dikatakan ‘kacip’ dan ‘hisap batu’ dalam video tersebut.
“Namun berapa nilai saman? RM3 juta? Bagi saya tiada nilai dengan bakat yang Allah kurniakan kepada saya.
“Demi Allah saya tidak reda dengan apa yang dilakukan dan semua rezeki yang dia dapat gara-gara video tersebut,” ujar Ellie.
Jelas Ellie, sebagai anak seni beliau bukan tidak memahami maksud video parodi tetapi mahu menjadikan perkara itu sebagai satu pengajaran agar maruah pelaku seni tidak lagi menjadi bahan jenaka.
“Saya faham video parodi tetapi kenapa dengan sengaja memalukan saya dan juga pelakon-pelakon senior lain?
“Besar harapan saya perkara ini tidak akan berulang. Buatlah konten yang cerdik dan memberi manfaat, bukan dengan cara merendahkan-rendahkan, memalukan atau memfitnah orang lain,” kata Ellie.
Terdahulu, sekitar awal Februari lalu Imran memuat naik dua video parodi dalam TikTok dan didakwa dengan sengaja memperlekehkan Ellie selain mengaitkannya dengan bahan terlarang.
Selain Ellie, beberapa nama artis lain turut dipetik antaranya Ajai, Wan Maimunah dan Datuk Fauziah Nawi – KOSMO! ONLINE