PUTRAJAYA- Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri bersetuju untuk mengimamkan solat maghrib dan isyak sempena Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra pada Isnin depan.
Perkara itu dinyatakan Sheikh Dr. Ekrima ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di sini hari ini.
“Insya-Allah (imam solat) maghrib dan isyak,” jawabnya ringkas.
Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, Sheikh Dr. Ekrima memaklumkan beliau bersedia menjadi imam pada majlis tersebut.
Katanya, beliau mengajak masyarakat Islam di negara ini untuk mengambil peluang menunaikan solat yang diimamkan oleh Sheikh Dr. Ekrima.
“Tidak ramai masyarakat Islam yang mampu pergi ke Al-Quds (Masjid Al-Aqsa) untuk solat bersama-sama beliau. Jadi, dengan kehadiran beliau di Masjid Putra pada 24 Februari nanti, kita akan minta beliau imamkan solat itu,” katanya.
Katanya, Majlis Ilmu Madani juga akan dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd. Na’im berkata, Sheikh Dr. Ekrima juga akan menyampaikan syarahan umum pada majlis berkenaan.
Sheikh Dr. Ekrima yang juga bekas Mufti Besar Palestin tiba di negara ini pada Selasa dalam rangka lawatan ke negara ini dan dijangka berangkat pulang pada 27 Februari depan. – KOSMO! ONLINE