LONDON – Lewis Hamilton dilihat bersemangat dan bertenaga ketika Ferrari memperkenalkan jentera baharu mereka di hadapan kira-kira 15,000 penyokong fanatik pada pelancaran musim Formula Satu (F1) 2025 di Arena O2, London awal pagi semalam.
Juara dunia tujuh kali itu meninggalkan Mercedes selepas 12 musim untuk menyertai gergasi Itali tersebut dengan harapan meraih gelaran dunia buat kali kelapan dalam kariernya.
“Perkataan yang terlintas di fikiran saya ialah bersemangat kerana saya rasa penuh bertenaga dan lebih segar.
“Semuanya serba baharu dan saya hanya fokus kepada apa yang ada di hadapan. Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini.
“Ini adalah sesuatu yang baharu dan mengujakan bagi saya,” kata Hamilton pada sesi pelancaran tersebut.
Perpindahan Hamilton ke Ferrari turut menarik perhatian ketua pasukan Red Bull, Christian Horner yang turut menjangkakan pemandu Britian itu sebagai pencabar utama musim ini.
Bagaimanapun, Horner berpendapat segala ketentuan bergantung kepada permulaan musimnya bersama Ferrari menjelang perlumbaan pertama pada Grand Prix (GP) Australia di Litar Albert, Melbourne, 16 Mac ini.
“Jika dia bermula dengan baik dan berjaya menyesuaikan diri dengan pasukan, dia boleh menjadi pencabar utama kejuaraan.
“Tetapi jika dia bermula dengan sukar, ia mungkin akan menjadi lebih mencabar buatnya untuk membuka kempen 2025 ini,” kata Horner. – AGENSI