MANCHESTER – Bintang muda Manchester United, Alejandro Garnacho perlu segera menunjukkan kualitinya jika mahu terus mempunyai masa depan di Old Trafford musim depan.
Garnacho, 20, seperti seorang pemain berbeza di bawah pengurus United ketika ini, Ruben Amorim apabila dia hanya mampu meledak satu gol daripada 20 aksi dalam semua kejohanan hinggakan ada yang mendakwa mereka seakan ‘tidak sebulu’.
Statistik itu ternyata berbeza berbanding ketika bersama bekas pengurus, Erik ten Hag yang menyaksikan pemain sayap kiri tersebut berjaya menyumbat 20 gol dan 12 bantuan jaringan daripada 98 perlawanan.
Bukan itu sahaja, Garnacho turut berjaya merakam dua jaringan dalam empat perlawanan di bawah tunjuk ajar Ruud van Nistelrooy sebelum Amorim mengambil alih tampuk kejurulatihan United.
Berdasarkan situasi semasa, masa depan Garnacho dilihat makin samar apatah lagi disebabkan kegagalannya menyudahkan peluang di hadapan gol menyebabkan United tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur kelmarin.
“Garnacho sepatutnya menjaringkan gol itu tetapi sentuhannya dengan bola tidak kemas. Saya merasakan dia cuba menambah kekuatan supaya bola melencong ke penjuru gawang.
“Malangnya ia melambung tinggi. Ia satu kerugian yang besar kerana akhirnya United tewas dalam perlawanan itu,” kata bekas penyerang United, Dimitar Berbatov.
Kekalahan di tempat lawan itu menyaksikan United berada pada fasa kritikal apabila jatuh ke tangga ke-15 iaitu tempat keenam tercorot yang juga tiga anak tangga dari zon penyingkiran. – AGENSI