KUALA LUMPUR – Dua gergasi hoki tanah air, Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal bertembung di pentas final Piala TNB 2025 selepas masing-masing menempah menerusi aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
THT mara ke final selepas menewaskan Kelab Hoki Matador dengan keputusan tipis 1-0 hasil jaringan tunggal penyerang profilik negara, Faizal Saari pada minit ke-40.
Gol penting itu sudah cukup untuk memastikan skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom ke pentas akhir dan terus memburu kejuaraan treble musim ini.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir penuh dramatik, TNB berjaya menundukkan Maybank dengan keputusan 7-4 dalam perlawanan penuh aksi berbalas jaringan.
TNB membuka tirai seawal minit kedua menerusi jaringan Jang Jun Hyon, sebelum melengkapkan pesta gol dengan jaringan ketujuh pada minit ke-60 hasil pukulan padang oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Pertemuan antara THT dan TNB di pentas final Piala TNB pada Sabtu ini bakal menjadi pertarungan epik antara dua pasukan terbaik musim ini.
THT yang baru sahaja menjulang kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala Sumbangsih, kini berpeluang merangkul kejuaraan treble musim ini.
Namun, TNB bukan lawan mudah, apatah lagi mereka adalah juara bertahan yang memenangi treble musim lalu dan pastinya mahu mempertahankan kejuaraan.
Aksi final dijangka menjadi medan pertempuran sengit antara barisan penyerang berbisa THT yang diketuai Faizal Saari dan kekuatan pasukan TNB yang terkenal dengan strategi menyerang agresif. – KOSMO! ONLINE