MILAN – Jurulatih sementara Feyenoord, Pascal Bosschaart meluahkan rasa bangga terhadap semangat dipamerkan anak-anak buahnya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk seri 1-1 dengan AC Milan pada playoff kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Keputusan di San Siro itu sudah cukup buat jaguh Belanda tersebut untuk mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik menerusi kemenangan 2-1 secara agregat selepas terdahulu menang 1-0 dalam aksi pertama di laman sendiri minggu lalu.
“Anda harus ingat bahawa mereka baru melalui fasa yang sangat sukar, menerima banyak kritikan, bertukar jurulatih dan kemudian seorang yang tidak dikenali datang mengetuai pasukan sambil sesekali mengeluarkan kata-kata semangat kosong.
“Itu adalah situasi yang sukar untuk mereka, tetapi saya fikir kami sangat jelas, telus dan jujur. Kumpulan pemain ini memberi respons yang baik, jadi saya amat berbangga dengan mereka,” katanya.
Feyenoord menerima permulaan buruk apabila bekas pemain mereka, Santiago Gimenez meletakkan Milan di hadapan seawal minit pertama.
Bagaimanapun, pasukan pelawat berjaya mengawal permainan selepas tuan rumah kehilangan Theo Hernandez yang dibuang padang akibat simulasi sengaja merebahkan badan pada minit ke-51
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Feyenoord apabila meledak gol penyamaan menerusi Julian Carranza pada minit ke-73 sekali gus mencipta sejarah baharu mara ke pusingan 16 UCL buat kali pertama dalam sejarah kelab.
“Semua orang akan berkata kami mengambil alih permainan selepas kad merah, tetapi kami sudah bermain baik sejak separuh masa pertama lagi. Cumanya segalanya menjadi lebih mudah selepas kad merah itu,” jelas Bosschaart. – AGENSI