fbpx

‘Elak pakai barang kemas kalau jalan sendirian, lalu tempat sunyi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEMIKIRKAN soal keselamatan, Anna Jobling mengakui tidak selesa memakai barang kemas jika berpergian ke luar negara atau berada di kawasan tumpuan awam. - M. FIRDAUS M. JOHARI

KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Anna Jobling menasihati agar wanita di luar sana berhati-hati memperagakan barang kemas di tempat awam bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menurut Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, wanita tidak boleh ambil mudah tentang soal keselamatan diri.

“Mungkin kadang-kadang kita rasa tempat yang kita nak pergi itu selamat dan tiada sesiapa akan buat perkara tidak baik kepada anda. Tetapi sebenarnya ada.

“Kalau boleh cuba elak berjalan seorang diri di tempat yang sunyi, gelap dan anda rasa tidak selamat.

“Macam saya sendiri, saya akan elak memakai barang kemas apabila pergi ke luar negara. Sebab kita tidak tahu keadaan di negara orang macam mana. Kita sendiri tidak ‘familiar’ dengan orang di sana macam mana. Jadi elakkan pakai barang kemas apabila pergi ke luar negara,” katanya.

Anna ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta jenama barang kemas di pusat beli belah Suria KLCC sempena sambutan Aidilfitri, di sini, hari ini.

Berkongsi lanjut tentang pemilihannya sebagai duta jenama barang kemas tersohor itu, kata Anna dia memang peminat barang kemas terutamanya emas dan berlian.

“Sejak kecil lagi ibu saya sudah terapkan tentang nilai barang kemas untuk wanita yang bukan sahaja digunakan sebagai perhiasan tetapi juga pelaburan untuk masa hadapan.

“Saya rasa bukan saya sahaja, tetapi semua wanita sukakan barang kemas. Tambah-tambah lagi kalau nak raya mesti kena pakai.

“Sesiapa yang rapat dengan saya mesti tahu yang saya sangat sukakan emas. Kalau dahulu ibu yang selalu belikan. Tetapi bila dah bekerja saya mula beli untuk diri sendiri sebagai pelaburan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Anna baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem di Indonesia dan bakal muncul dengan drama terbaru bergandingan dengan Hun Haqeem Ramadan nanti. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI