GUA MUSANG – Dua kanak-kanak Orang Asli di Pos Belatim di sini yang mengalami sesak nafas dan cirit-birit dibawa menaiki helikopter menerusi pemindahan perubatan (Medevac) untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang semalam.
Operasi Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu membawa Johari Along, 2, mengalami radang saluran pernafasan dan Sam Diana Enjon, 5, yang cirit-birit.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Ahmad Hafiz Sulaiman berkata, kedua-dua pesakit diiringi ibu dan bapa mereka dibawa ke hospital dengan menaiki helikopter MI-17-IV.
Katanya, pesakit berkenaan telah mengalami masalah kesihatan sejak seminggu lalu.
“Johari mengalami demam dan sukar bernafas sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan manakala Sam Diana pula cirit-birit.
“Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang pada pukul 12.50 tengah hari. Anggota unit Udara JBPM bersama penduduk membawa pesakit menaiki helikopter semasa tiba di Pos Belatim,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Ahmad Hafiz memberitahu, kedua-dua pesakit diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital sebaik sahaja tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang. – KOSMO! ONLINE