KUALA LUMPUR – Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara tidak akan meminggir dan terus memberi tumpuan ke arah melahirkan lebih ramai graduan menerusi sektor pertanian.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan TVET tidak meminggirkan sektor pertanian yang mana ketika ini, kebolehpasaran graduan TVET dalam sektor itu mencecah kira-kira 80 peratus.
“Saya akan beri tumpuan juga supaya ada imbangan antara sektor pertanian dan bukan pertanian dalam kalangan graduan TVET.
“Saya teliti di bawah Majlis TVET Negara dan melihat supaya pakar-pakar termasuk jurutera dalam bidang pertanian dapat disantuni dan diberi keutamaan (di bawah TVET),” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung hala tuju dan perancangan kerajaan untuk memperkasakan TVET pertanian ke arah memastikan keterjaminan makanan negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata, pelaksanaan TVET juga merupakan penyelesaian kepada permasalahan pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan mereka tidak terus tercicir daripada arus pendidikan dan pekerjaan.
“Tahun lalu misalnya lebih 8,000 pelajar tidak menduduki SPM jadi, kita mahu memberikan mereka peluang kedua.
“Walaupun kita tidak anggap TVET ini sebagai pilihan kedua, tetapi kita mahu melalui ekosistem pendidikan yang baharu ini, TVET selepas ini menjadi pilihan utama pelajar-pelajar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.