KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengkaji kerangka perundangan sedia ada sekiranya terdapat ruang untuk menggubal undang-undang bagi menangani kegiatan menggunakan alat ganti sewa semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, terdapat aktiviti penukaran tayar yang secara asasnya sah dari segi undang-undang dan perlu dilakukan bagi memenuhi syarat pemeriksaan.
Namun, katanya, masalah timbul apabila berlaku manipulasi, yang mana tayar yang telah memenuhi piawaian pemeriksaan ditukar semula kepada tayar lama atau tidak selamat selepas pemeriksaan selesai.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu terhadap ekosistem yang terlibat dalam sindiket ini merangkumi pembekal atau kedai yang menawarkan perkhidmatan sewa tayar, orang tengah dan pemilik kenderaan terbabit.
“MOT melalui JPJ akan mempergiatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dengan melaksanakan pemeriksaan mengejut di lokasi strategik selepas pemeriksaan kenderaan di Puspakom.
“Selain itu, Pasukan Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya (UPLR) turut ditubuhkan oleh JPJ untuk meningkatkan pematuhan kenderaan perdagangan terhadap peraturan, khususnya di lebuh raya dan laluan utama yang mempunyai aliran trafik tinggi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang ingin tahu berapa jumlah kedai tayar dan bengkel yang telah diambil tindakan kerana menyewakan tayar kepada lori sebagai helah semasa pemeriksaan di Puspakom.
Dalam pada itu, jelasnya, bagi masa jangka masa panjang, MOT dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan mengkaji kaedah yang lebih efektif dengan menggunakan penerapan teknologi bagi menangani isu manipulasi sewa tayar bagi kelulusan pemeriksaan kenderaan. – KOSMO! ONLINE.