KUALA LUMPUR – Melalui hasil risikan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat penawaran Kad Pengenalan palsu dijual dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM5,000.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, Kebanyakan permintaan ini datangnya daripada warga asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di Malaysia.
“JPN telah melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan termasuk penjualan kad pengenalan palsu atau perkhidmatan pemalsuan identiti secara atas talian. Pemantauan ini melibatkan semua platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan TikTok bagi memastikan sebarang aktiviti haram dapat dikesan dan ditangani dengan segera.
“Berdasarkan hasil risikan tersebut, JPN giat menjalankan pemantauan dan melaksanakan kerjasama dengan pihak penguatkuasa yang lain seperti PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya ketika sesi Jawapan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang ingin tahu sejauh mana langkah pemantauan serta tindakan penguatkuasaan yang telah diambil terhadap sindiket pemalsuan kad pengenalan yang dilapor menawarkan MyKad pada harga RM4,400 kepada individu yang berminat dengan mempromosikan tawaran berkenaan menerusi platform media sosial khususnya warga asing.
Selain itu, JPN juga giat melaksanakan kempen kesedaran untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan orang awam mengenai kepentingan menjaga dan melindungi dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh JPN seperti Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan.
Tambah beliau lagi, orang awam turut dimaklumkan mengenai kesan dan akibat membeli serta memiliki dokumen palsu, di samping menegaskan bahawa sebarang dokumen pengenalan diri hanya boleh diperoleh melalui JPN dan bukan melalui pihak ketiga.
“Sukacita diingatkan bahawa orang ramai boleh dikenakan hukuman di bawah Perkara 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 bagi kesalahan memiliki Kad Pengenalan Palsu atau Kad Pengenalan selain daripada kepunyaannya dengan denda maksima RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai juga boleh membuat aduan kepada saluran rasmi JPN atau di 210 cawangan JPN diseluruh negara bagi melaporkan aktiviti penawaran Kad Pengenalan secara tidak sah ini,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE.