MELANGKAH ke dalam dunia seni bukan sekadar bersandarkan populariti media sosial sebaliknya menuntut kesungguhan, ketahanan mental dan keikhlasan dalam berkarya.
Begitulah perjalanan Luqman Podolski, pemuda berbakat yang kini semakin teguh mencorak namanya sebagai pemuzik.
Setelah bertahun-tahun mencurahkan keringat, akhirnya sebuah mimpi berjaya direalisasikan.
Album EP sulungnya, Kau Apa Sebenarnya? menemui peminat sejak 24 Januari lalu menjadi tanda aras baharu dalam perjalanan seninya.
Bermula sebagai pempengaruh, Luqman tidak mahu sekadar menjadi bintang media sosial tanpa hala tuju jelas dalam industri hiburan.
Menyedari kecintaan terhadap muzik semakin menebal, anak muda berusia 27 tahun itu nekad mengorak langkah lebih serius dalam dunia seni suara.
“Sebenarnya, sejak awal kemunculan lagi saya sudah mengumpulkan banyak material lagu. Ada yang telah dilancarkan, ada juga disimpan demi mencari masa terbaik untuk diperdengarkan kepada peminat.
“Setelah banyak perbincangan bersama Warner Music Malaysia, akhirnya lagu-lagu yang terbaik dipilih untuk dimuatkan dalam EP ini,” katanya penuh syukur.
Mengangkat Tiba-Tiba sebagai single perdana, EP ini turut dihiasi dengan lagu-lagu yang mencerminkan kematangan serta evolusi muzik Luqman seperti Tak Sedar Diri, Salahkah Aku?, Rahsia dan M***.
Paling istimewa, EP ini menampilkan satu kolaborasi yang cukup dinanti-nantikan iaitu Aku Dah Tak Percaya, buah tangan istimewa bersama Zynakal yang akhirnya menjadi kenyataan selepas beberapa kali ‘gagal’ mendapatkan penyanyi lain.

“Saya pernah berikan demo kepada beberapa rakan artis, tetapi tiada sebarang respons. Mungkin mereka anggap lagu ini kurang sesuai atau terlepas peluang untuk memberikan persetujuan.
“Namun, saya bersyukur kerana Zynakal akhirnya bersetuju. Dia percaya lagu ini benar-benar kena dengan konsep muzik kami. Maka, terhasillah Aku Dah Tak Percaya yang begitu dekat dengan jiwa saya,” dedahnya teruja.
Lebih menarik, EP ini turut menampilkan lagu M***, sebuah karya istimewa yang telah ‘terperam’ sejak tahun 2016.
Pada awalnya, lagu itu hanya berdurasi satu minit dan sekadar dimuat naik dalam media sosial, namun permintaan peminat yang tidak pernah surut akhirnya membuatkan Luqman mengambil keputusan untuk melengkapkan naskhah berkenaan.
“Ramai yang bertanya bila versi penuh lagu ini akan diterbitkan. Demi peminat, saya akhirnya siapkan juga M*** sepenuhnya.
“Harapan saya, mereka dapat menikmati lagu ini dalam bentuk sebenar dan terus menyokong semua karya dalam EP Kau Apa Sebenarnya?,” tuturnya penuh harapan.
Berkongsi kegembiraan dalam majlis pelancaran EP tersebut, lebih 100 peminat terpilih hadir menyaksikan detik bersejarah Luqman.
Acara dimeriahkan dengan persembahan eksklusif beberapa lagu baharu serta sesi interaksi erat antara penyanyi dan peminat setia.
EP ini bukan sekadar sebuah album, tetapi bukti bahawa Luqman Podolski kini berada di landasan tepat sebagai seorang anak seni yang serius, berbakat dan tidak gentar meredah cabaran industri muzik tanah air.