PETALING JAYA – Bersederhana dan merendah diri, pelakon Datin Atikah Suhaime dilambung pujian apabila memilih membeli barangan bayi menerusi platfrom TikTok meskipun bersuamikan Datuk Lokman Teh yang berstatus jutawan.
Menerusi perkongsian video dalam TikTok, Atikah, 33, dilihat sedang melakukan ‘unboxing’ barangan bayi seperti pakaian dan mandian yang dibeli secara atas talian sebagai persediaan menyambut kelahiran cahaya mata sulung.
“Antara barangan yang saya beli untuk persediaan menyambut kelahiran.
“Apa lagi yang Tikah lupa ya?” katanya dalam video tersebut.
Tindakan pelakon filem TanTiAna itu menerima pujian ramai yang menyifatkan dirinya bersederhana dan tidak terlalu mengikut kemewahan meskipun lebih daripada mampu membeli barangan jenama mewah.
“Saya kagum sebab Datin Atikah walaupun kaya, dia tetap memilih untuk berjimat dan beli barang dalam TikTok saja. Inspirasi betul. Bukan macam Datin seorang lagi tu,” tulis seorang netizen.
“Ini baru betul. Kaya, tapi masih tahu berjimat. Ada saja orang kaya lain yang terus beli barangan berjenama mahal,” komen pengguna lain.
“Datin Atikah membuktikan meskipun hidup selesa, masih tak lupa untuk bersederhana. Semoga urusan bersalin nanti dipermudahkan,” kata seorang peminat.
Atikah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh pada Januari tahun lalu.
Pada September 2024, Atikah mengumumkan kehamilannya selepas video mukbang yang memaparkan dirinya kelihatan lebih berisi mendapat perhatian ramai.
Pasangan itu kini tidak sabar menyambut kelahiran cahaya mata mereka yang dijangka dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE