SHAH ALAM – Seorang bekas Pengarah Kolej Komuniti Shah Alam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2,780 melibatkan penyelenggaran kolej berkenaan, empat tahun lalu.
Tertuduh, Muhapis A. Hakim, 45, membuatkan pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhapis yang semasa kejadian merupakan Pengarah Kolej Komuniti Shah Alam telah menerima wang tunai secara berperingkat sebanyak RM780 dan RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 52 tahun yang merupakan kontraktor bagi kerja selenggara di kolej berkenaan termasuk di unit pentadbiran dan akademik.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran dan gerai makanan di hadapan sebuah masjid sekitar Taman TTDI Jaya antara 18 dan 19 November, 2021.
Tertuduh ketika ini bertugas sebagai pensyarah di salah sebuah politeknik di Selangor.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili Peguam Fahmi Abd. Moin.
Mahkamah kemudiannya jaminan RM6, 000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM yang berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan 20 Mac depan. – KOSMO! ONLINE