KLANG – Aveta Malaysia terus memacu perubahan dalam segmen skuter tempatan menerusi pelancaran siri skuter Nova yang serba baru.
Direka untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan penunggang di Malaysia, skuter siri Nova menggabungkan gaya, prestasi, dan elemen praktikal untuk menetapkan piawaian baharu dalam pengangkutan bandar.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim berkata, pihaknya komited dalam mengeluarkan motosikal yang berkualiti tinggi dan dipercayai rakyat Malaysia tanpa mengabaikan aspek prestasi pada harga yang mampu milik.
“Dengan matlamat tersebut kami berbangga untuk memperkenalkan dua model pertama dalam siri Nova, iaitu Nova 125 dan Nova 160.
“Model-model ini direka untuk memenuhi pelbagai keperluan, daripada urusan harian seperti menghantar anak ke sekolah, hingga kepada tunggangan santai pada hujung minggu,” katanya pada majlis pelancaran kelmarin.
Dengan pilihan warna trendy seperti Peach Berry, Grey Lemon dan Blue Lemon, Nova 125 ditawarkan pada harga serendah RM5,188, manakala Nova 160 yang tersedia dalam warna Raven Red, Aveta Blue, dan Copper Blaze dan ditawarkan pada harga RM7,988.
Kedua-dua model berkenaan akan tersedia di pasaran bermula Mac ini.
Steven menambah, Aveta tidak berkompromi dalam aspek sokongan selepas jualan dan kepuasan pelanggan.
Jelasnya, dengan rangkaian pengedar, pusat servis, dan stokis yang semakin berkembang di seluruh negara, ditambah dengan kejayaan program perkhidmatan Aveta Care on Wheels yang menyediakan servis dari pintu ke pintu, pemilik Nova dapat menikmati pengalaman pemilikan yang lebih yakin tanpa sebarang keraguan.
“Pelancaran ini juga menandakan permulaan tahun yang menarik untuk variasi skuter Aveta, dari model pengembaraan seperti siri Vanguard ATC hingga model urban sporty seperti siri Nova, kami komited untuk memenuhi pelbagai keperluan penunggang di Malaysia.
“Pada akhir tahun ini, kami akan menambah siri Nova dengan satu lagi model Nova 250 yang bakal menjadi penanda aras baharu untuk skuter sports bandar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE