fbpx

Arif Aiman satu gol belakang Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF AIMAN (tengah) kini ketinggalan dua gol sahaja lagi untuk menyamai penjaring terbanyak ACLE musim ini. - RAJA JAAFAR ALI

PELUANG pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi untuk mencabar gelaran ‘kasut emas’ pada kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) semakin terbuka apabila Harimau Selatan berjaya lolos ke pusingan 16 terbaik.

Pendahulu Liga Super itu mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas melakar kemenangan 5-2 ke atas kelab Korea Selatan, Pohang Steelers dalam perlawanan terakhir liga zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin.

Lima jaringan yang dilakukan oleh Oscar Arribas, Bergson da Silva, Arif Aiman, Jese Rodriguez dan Jorge Obregon memastikan JDT menamatkan saingan di tempat keempat dan bakal bertemu Buriram United pada aksi kalah mati nanti.

Lebih menarik, gol yang dijaringkan oleh Arif Aiman menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu meledak lima jaringan secara keseluruhan pada kempen ACLE musim ini.

Bintang skuad kebangsaan itu hanya ketinggalan dua gol di belakang penjaring terbanyak ACLE ketika ini, Jasir Asani dan Salem Al Dawsari (Al Hilal) yang sudah menyumbang tujuh gol.

Pemenang lima kali Ballon d’Or yang kini mewakili Al Nassr, Cristiano Ronaldo pula meledak enam gol selepas mengharungi lapan perlawanan.

Lima jaringan Arif Aiman itu secara tidak langsung meletakkan dia sebaris dengan pemain bertaraf dunia seperti Aleksandr Mitrovic Al Hilal, Soufiane Rahimi (Al-Ain) serta Ivan Toney dan Riyad Mahrez (Al Ahli) yang turut meraih jumlah yang sama.

Arif Aiman menerusi temu bual yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini masih belum berpuas hati dengan prestasi semasa, sebaliknya perlu terus bekerja keras untuk membawa JDT ke tahap yang lebih baik.

“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan terus beraksi pada tahap tertinggi untuk JDT. Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini.

“Saya berasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan menumpukan kepada matlamat yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, rekod penjaring terbanyak JDT dalam satu musim kejohanan berprestij benua Asia itu masih menjadi milik Bergson yang berjaya meledak enam gol pada edisi 2022.

PENJARING ACLE

7 gol
Jasir Asani (Gwangju FC)
Salem Al Dawsari (Al Hilal)

6 gol
Cristiano Ronaldo (Al Nassr)
Anderson Souza (Yokohama F. Marinos)

5 gol
Arif Aiman Hanapi (JDT)
Matias Vargas (Shanghai Port)
Aleksandar Mitrovic (Al Hilal)
Soufiane Rahimi ((Al Ain)
Ivan Toney (Al Ahli)
Riyad Mahrez (Al Ahli)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI