SHAH ALAM – Senjata api yang menjadi ‘teman rapat’ kepada penjenayah berbahaya bergelar Ah Boy dipercayai dibeli dalam negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semasa kejadian berbalas tembakan yang membawa kematian penjenayah tersebut telah membawa penemuan dua pucuk pistol bersama peluru milik suspek.
Katanya, dua pistol semi-automatik tersebut adalah dari jenis Sig Sauer dan Retay.
“(Pistol itu beli dari mana) yang itu masih dalam siasatan pihak polis lagi namun kita percayai dalam negara juga,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek tersebut telah melakukan 15 kes jenayah dengan kebanyakan di Selangor.
Ini melibatkan sembilan rekod lampau dan enam lagi meliputi kes insiden tembakan di pusat beli belah di Setia Alam dan semasa dalam buruan polis selama 10 hari.
“Dia pernah dipenjara dua kali dengan kali terakhir keluar dari penjara adalah pada tahun 2019,” tegasnya.
Kosmo! hari ini melaporkan Ah Boy yang ditembak mati di Pulau Ketam, Klang kelmarin dianggap berbahaya kerana sentiasa membawa senjata api ketika bergerak ke mana-mana lokasi.
Lelaki berusia 35 tahun dan berasal di Klang itu dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah samun seawal usia 24 tahun.
Sementara itu, Hussein berkata, tidak serasi dengan rakan jenayah membuatkan seorang penjenayah bergelar Ah Boy mengambil keputusan melakukan jenayah secara bersendirian sejak pertengahan tahun lalu.
Katanya, jenayah samun dilakukan suspek berkenaan bagi memenuhi keperluan dirinya sendiri.
“Sejak lebih setahun ini, suspek melakukan samun, rompakan dan curi. Bila habis (sumber kewangannya hasil jenayah), dia buat lagi.
“Itu telah menjadi kelakuan dia. Kita tahu selepas kejadian di pusat beli belah di Setia Alam, dia telah terlibat dalam lima kes samun, pecah rumah, curi kenderaan di Melaka, Banting dan Sekinchan,”jelasnya. – KOSMO! ONLINE