fbpx

‘5 tahun berlalu, pedih ketiadaanmu masih ada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUNGA bersama suami, anak dan keluarga menziarahi pusara Allahyarham Ashraf Sinclair baru-baru ini.

LIMA tahun berlalu, segala kenangan bersama Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung tetap utuh di hati penyanyi dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari.

Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL mengakui masih diselubungi kesedihan berikutan kehilangan insan tersayang malah sentiasa mencintai arwah suaminya itu.

“Lima tahun sudah berlalu, namun pedih ketiadaanmu masih ada.

Hidup tetap diteruskan, namun kami membawamu di setiap saat dan dalam setiap doa. Banyak yang berubah, tetapi cinta kami kepadamu tidak akan pernah berubah.

“Rindu yang tidak terkata, mencintaimu tanpa batasan dan diingati selalu,” kongsinya dalam hantaran dalam Tread.

Menerusi perkongsian foto dan video, BCL ditemani suami, anak serta keluarganya ke pusara arwah di tanah perkuburan San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat.

Menerusi perkongsian lain, selebriti yang sudah berkahwin dengan pegawai kewangan, Tiko Aryawardhana turut menyatakan anak tunggalnya, Noah Aidan Sinclair kini semakin dewasa.

Penyanyi Cinta Sejati itu turut menzahirkan doa agar arwah sentiasa berada dalam peliharaan Allah.

“Lima tahun bukan waktu yang singkat. Anak kita sekarang sudah menjadi remaja dan semakin tinggi. Dia pun muat pakai baju kamu.

Jangan risaukan tentang kami, di sini ramai yang menjaga dan menyayangi kami.

“Kami mendoakan kedamaian kamu yang abadi di sana,” ujarnya.

BCL dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 namun aktor itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun di kediaman mereka di Jakarta pada 18 Februari 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 14 tahun.

Pada 4 Disember 2023, BCL bergelar isteri kepada Tiko dalam majlis pernikahan yang diadakan di Bali, Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI