PETALING JAYA – Tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ditetapkan pada petang 28 Februari bersamaan 29 Syaaban 1446 hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh awal Ramadan yang ditetapkan melalui radio dan televisyen,” katanya.
Dalam pada itu, jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara.
Lokasi tersebut adalah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, (Tanjung Bidara, Melaka), Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang (Port Dickson, Negeri Sembilan), Baitul Hilal Bukit Melawati (Kuala Selangor), Baitul Hilal Bukit Jugra (Banting, Kuala Langat), Balai Cerap Selangor (Sabak Bernam) dan Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang (Manjong, Perak).
Pusat Falak Sheikh Tahir (Pantai Aceh, Pulau Pinang), Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak (Kuala Muda), Stesen Cerapan Hilal Pemandangan Indah (Pulau Langkawi) Menara Alor Setar, Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar (Kuala Terengganu), Stesen Cerapan Hilal Bukit Geliga (Kemaman), Stesen Cerapan Hilal Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap KUSZA (Merang, Setiu).
Seterusnya, Stesen Cerapan Hilal Bukit Peraksi (Pasir Puteh, Kelantan), Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling (Kuala Krai), Stesen Cerapan Hilal Menara Bangunan SEDC (Kota Bharu), Pusat Falak Miri, Esplanade Luak (Miri) Teluk Bandung (Kuching), Pusat Falak Bintulu dan Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil (Putatan, Sabah).
Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong Batu (Nenasi, Pahang), Stesen Cerapan Hilal Gunung Berincang (Cameron Highlands), Menara 188 (Kuantan), Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. – KOSMO! ONLINE