SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga emas rebah sebelum meninggal dunia ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit H di Taman Semarak, Tikam Batu di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada pukul 6 petang sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi.
“Sebaik sampai di atas puncak bukit berdekatan menara pencawang di situ, kita mendapati seorang warga emas, Goh Cheng Huat, 69, dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pegawai perubatan kemudian mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil temu bual dengan saksi, lelaki itu dilihat mula mendaki bukit kira-kira pukul 5.30 petang tadi seorang diri.
“Mangsa dilihat seperti sesak nafas ketika sampai di puncak bukit oleh pendaki lain dan apabila tiba berdekatan menara pencawang di puncak, dia didapati rebah,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE