BRISBANE- Seorang penangkap ular di Australia bertindak balas ke sebuah rumah selepas seekor ular kedua paling berbisa di dunia ditemukan di dalam mesin basuh, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Maudsland, pinggir bandar Gold Coast, negeri Queensland.
Satu rakaman video mengenainya dimuat naik oleh Hudson Snake Catching yang menyediakan perkhidmatan menangkap reptilia tersebut di laman Facebook.
Rakaman video itu menunjukkan penangkap ular menemukan seekor ular coklat timur melingkar di dalam mesin basuh.
Lelaki itu kemudian berjaya menangkap reptilia tersebut dan memindahkannya.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu. – AGENSI