ALOR SETAR – Balu kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak iaitu Tok Puan Faikah Hamzah, 75, meninggal dunia pada pukul 3.45 pagi tadi di Institut Endokrin Hospital Putrajaya.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menerusi akaun Facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah atas pemergiannya.
“Salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah Tok Puan Faikah Hamzah, balu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak atas pemergiannya ke rahmatullah.
“Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Semoga seluruh keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Difahamkan, jenazah Allahyarham Faikah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang di Bangi, Selangor.
Pada 26 September 2013, Allahyarham Azizan yang berusia 68 tahun meninggal dunia pada pukul 11:15 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini akibat kegagalan fungsi organ dalaman dan jangkitan kuman dalam darah. – KOSMO! ONLINE