KUALA LUMPUR – Tiada lagi istilah ‘penantian suatu penyeksaan’ dalam kalangan graduan perubatan untuk dilantik sebagai pegawai perubatan siswazah (PPS) bermula tahun 2016.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, terdapat sebanyak 49 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara ketika ini bagi menempatkan mereka.
“Soalan menanti ini suatu masa dulu betul, penantian suatu penyeksaan kerana setahun mereka menanti untuk mendapat tempat sebagai PPS.
“Sekarang ini kita tidak lagi mendapati mereka kecewa lantas meninggalkan kerjaya perubatan yang menjadi minat mereka. Tidak lagi timbul isu seperti itu. Setiap dua bulan kita buat pengambilan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) berapa jumlah graduan perubatan yang berputus asa untuk menjadi doktor kerana menunggu lama untuk diserap sebagai doktor pelatih.
Menjawab soalan asal V.Ganabatirau(PH-Klang), Dzulkefly berkata, pelantikan PPS dilakukan sebanyak enam kali setahun dengan selang masa dua bulan berbanding tempoh menunggu satu tahun sebelum ini.
Menurut beliau, seramai 3,316 graduan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia telah dilantik sebagai PPS dan ditempatkan di HLS di seluruh negara.
Kata beliau, bagi tahun 2025, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan melantik seramai 3,000 PPS dan setakat suku pertama tahun ini seramai 1,114 telah dilantik secara kontrak.
“Sebanyak 49 HLS itu termasuk 14 hospital negeri, 26 buah hospital berpakar major, lima hospital berpakar minor, tiga hospital pengajar universiti iaitu HUKM, PPUM, HUSM dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan,” kataya. – KOSMO! ONLINE