fbpx

Tentera Lebanon ambil alih kedudukan selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota tentera Lebanon berkawal ketika penduduk tempatan pulang ke kampung Kfar Kila di selatan negara itu semalam. - AFP

BEIRUT – Anggota tentera Lebanon giat ditempatkan di sempadan negara itu dengan Israel susulan pengunduran tentera Rejim Zionis pada tarikh akhir tempoh gencatan senjata untuk berundur, lapor laman berita New Arab semalam.

Tentera Lebanon berkata, anggotanya telah memasuki bandar Blida, Yaroun, Maroun al-Ras, Mais al-Jabal, Houla, Markaba, Odeiseh, Kfarkela dan Wazzani di selatan.

Misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu, UNIFIL, turut menjalankan rondaan di seluruh kawasan tersebut dan mendirikan pos bersebelahan kedudukan tentera Lebanon, lapor Agensi Berita Nasional (NNA).

Penduduk juga mula pulang ke rumah mereka berikutan pengunduran Israel termasuk di Mais al-Jabal dan Wazzani. 

Pengerahan tentera Lebanon ke selatan berlaku pada tarikh akhir pelanjutan gencatan senjata yang diminta oleh Israel, yang menyaksikan berakhirnya pertempuran antara askar Rejim Zionis dan Hezbollah.

Walaupun tentera Israel berundur dari kebanyakan wilayah Lebanon, ia tidak lengkap kerana lima pos di sepanjang sempadan masih di bawah kawalan tentera Rejim Zionis, satu langkah yang dibenarkan oleh Amerika Syarikat. 

Lima pos itu termasuk kedudukan di Bukit Laboune dalam daerah Tire, Jabal Balat di daerah Bint Jbeil, Jal al-Deir di Bin Jbeil, kedudukan di sepanjang jalan Markaba-Houla di daerah Marjayoun dan Bukit Hamames di Marjeyoun.

Tidak dijelaskan tempoh masa Israel berhasrat menduduki pos-pos tersebut.

Sementara itu, Presiden Lebanon, Joseph Aoun; Perdana Menteri, Nawaf Salam dan Speaker Parlimen, Nabih Berri berkata, mereka akan merayu kepada Majlis Keselamatan PBB untuk memastikan pengunduran segera tentera Israel daripada lima lokasi tersebut. 

Tambah mereka, Beirut menganggap kehadiran tentera Israel itu sebagai pendudukan. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI