fbpx

Tang Jie belum puas aksi musim 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG JIE (kanan) dan Ee Wei gagal menaiki podium dalam tiga kejohanan disertai tahun ini.

PEMAIN beregu campuran negara, Chen Tang Jie meluahkan rasa tidak puas hati apabila gagal untuk menampilkan aksi dimahukan sepanjang saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini.

Dia menganggap mereka memiliki beberapa peluang untuk merangkul kejuaraan, namun kesilapan-kesilapan mudah dilakukan menyebabkan beregu No. 4 dunia itu terpaksa berputih mata tersingkir awal.

Aksi kurang sempurna ditampilkan menjadikan Tang Jie lebih bermotivasi untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada bagi memastikan dia dan Ee Wei sekurang-kurangnya dapat menjejakkan kaki ke podium.

“Untuk musim ini, memang tidak puas hati kerana setiap kejohanan yang disertai memang ada peluang untuk pergi lebih jauh dan dapatkan kejuaraan atau podium. Bagaimanapun, selalu tersekat di suku dan separuh akhir.

“Pada kejohanan terakhir (Indonesia Masters), kami bermain dengan bagus tetapi masih kalah. Begitu juga di Terbuka India dan Malaysia, kami bermula baik tetapi tewas, jadi memang tidak puas hati,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Setakat saingan musim ini, Tang Jie-Ee Wei sudah beraksi tiga kejohanan dan melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan India, manakala aksi di Indonesia Masters menyaksikan mereka tersekat di suku akhir.

Kali terakhir gandingan yang terkenal dengan julukan ‘duo gangster’ itu memenangi kejohanan Jelajah Dunia adalah ketika muncul juara Terbuka Korea pada September tahun lalu.

Sementara itu, Tang Jie menjelaskan tidak terasa hati dengan kritikan dilemparkan para peminat sukan tanah air terhadap dirinya selagi tidak menyentuh peribadi dan keluarganya.

“Tipulah jika saya cakap tidak baca kritikan-kritikan tetapi saya tahu mereka meletakkan harapan terhadap kami. Saya tetap hargai apa yang dikatakan kerana mereka juga sudah meluangkan masa untuk menyaksikan kami bermain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI