GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang bertindak terjun dari Kilometer 5.5, Jambatan Pulau Pinang di sini semalam ditemukan lemas di tiang berhampiran lokasi berkenaan, pagi tadi.
Mayat lelaki berusia 48 tahun dari Bayan Lepas itu dijumpai selepas lebih 30 jam laporan mengenai kejadian diterima pada pukul 2.50 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat lelaki itu dijumpai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama agensi penyelamat lain, kira-kira pukul 9.05 pagi.
“Pasukan Carilamat menjumpai mayat lelaki itu berhampiran tiang Jambatan Pulau Pinang. Mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang lelaki tempatan dilaporkan terjun dari Jambatan Pulau Pinang meninggalkan motosikal jenis Honda EX5 bersama dokumen pengenalan diri berdekatan tembok jambatan kira-kira pukul 2.15 pagi.
Terdahulu, tular video memaparkan detik terakhir mangsa terjun ke laut secara ‘live’ meskipun sudah dipujuk beberapa orang awam yang berada di lokasi berkenaan.
Sebelum itu, lelaki tersebut sempat menjawab beberapa pertanyaan daripada pengguna jambatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE