KUALA LUMPUR – Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) menyasarkan sumbangan daripada perniagaan katering yang dioperasikan oleh Kopetro Catering Sdn. Bhd. (Kopetro Catering) meningkat sehingga tiga kali ganda kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata, buat masa ini, segmen perniagaan makanan dan minuman (F&B) tersebut yang telah diusahakan sejak 30 tahun lalu telah menyumbang sebanyak 30 peratus kepada hasil Kopetro.
Menurut beliau, pihaknya teruja dengan perkembangan terbaharu daripada segmen bisnes tersebut pada tahun ini melalui penceburan syarikat dalam bidang perkhidmatan berkaitan perkahwinan yang akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini dan juga dalam segmen tawaran bufet Ramadan pada tahun ini.
Mengulas lanjut mengenai segmen terbaharu itu, Ketua Operasi Bahagian F&B, Muhammad Hafiz Ilham Hussin menerangkan, syarikat telah terlibat dalam F&B sejak 30 tahun lalu dengan aktiviti utamanya menyediakan hidangan bersesuaian untuk pelbagai mesyuarat dan majlis anjuran Petronas.
“Setiap hari dapur berpusat kami yang terletak di Bukit Serdang telah menyediakan lebih daripada 4,000 pek makanan,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran tawaran bufet Ramadan bertemakan Ramadan Citarasa Nostalgia di Awan Space Heritage Hall dekat sini.
Awan Space Heritage Hall itu terletak di dalam sebuah bangunan baharu yang terletak di lokasi berdekatan dengan jalan utama ke Kuala Lumpur dan Gombak, kawasan parkingnya yang luas dan lengkap dengan kemudahah itu boleh memuatkan sehingga 320 orang dalam satu-satu masa.
Muhammad Hafiz menjelaskan, bufet Ramadan yang akan bermula pada 3 Mac itu bakal menampilkan lebih 100 menu yang menawarkan pelbagai hidangan tradisional serta masakan ibunda.
Jelasnya, bufet ini direka khas untuk mengimbau semula rasa autentik dari zaman silam sambil menawarkan pengalaman menjamu selera yang eksklusif dalam suasana yang elegan.
“Ini adalah kali pertama kami menganjurkan buffet Ramadan di venue ini dan kami berharap dapat memberikan pengalaman yang istimewa kepada para pelanggan.
“Kami berharap dapat mencipta kenangan manis untuk keluarga dan rakan-rakan yang datang berbuka puasa bersama,” jelasnya.
Melalui persekitaran yang diilhamkan dengan menampilkan kekayaan rasa nostalgik masakan tradisional Malaysia serta pengalaman menjamu selera yang mesra, tawaran harga serendah RM50 bagi kanak-kanak dan RM75 bagi dewasa pastinya cukup berbaloi dengan lebih 100 menu setiap hari. -KOSMO! ONLINE