KAMPAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat bagi merasmikan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, yang telah menerima lebih 130,000 pesakit sejak beroperasi pada tahun 2022.
Keberangkatan baginda ke hospital tersebut diiringi oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pengerusi Lembaga Hospital UTAR, Tan Sri Dr. Chuah Hean Teik.
Operasi hospital itu bermula dengan pembukaan Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) pada April 2022, diikuti pembukaan Pusat Pakar Perubatan Moden pada Ogos 2023.
Hean Teik ketika menyampaikan sembah ucapan majlis perasmian berkata, idea UTAR untuk memiliki hospital sendiri muncul pada tahun 2009 sewaktu pengenalan fakulti perubatan dan sains kesihatan di kampus Sungai Long, Kajang, Selangor.
Katanya, bahagian TCM hospital itu kini telah menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional meliputi Perubatan Cina, Perubatan India (Ayurveda) dan bersiap sedia memperkenalkan kaedah Perubatan Tradisional Melayu.
“Kini sedang menunggu pensijilan bagi amalan Perubatan Tradisional Melayu. Perkhidmatan ini akan dimulakan setelah mendapat kelulusan,” katanya dalam majlis perasmian tersebut di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE