WASHINGTON – Cuti persekutuan bagi meraikan ulang tahun kelahiran Presiden pertama Amerika Syarikat (AS), George Washington bertukar menjadi protes besar-besaran bagi menyatakan bantahan terhadap pentadbiran Donald Trump, lapor laman berita Spectrum News kelmarin.
Sebahagian rakyat Amerika yang tidak berpuas hati dengan dasar dan pelantikan politik Presiden AS itu mengadakan protes yang dijadualkan berlangsung di sekurang-kurangnya 18 negeri, termasuk California, Florida, Idaho dan Texas.
Agensi berita Anadolu melaporkan, demonstrasi juga berlangsung di Philadelphia, Boston, Chicago, Cincinnati, Bandar Raya New York, Jacksonville dan bandar-bandar AS yang lain.
Di Washington, D.C sahaja, lebih 2,000 penunjuk perasaan berkumpul berkumpul di Union Square berhadapan Capitol AS untuk membantah pemecatan beribu-ribu pekerja persekutuan yang dilakukan oleh Jabatan Kecekapan Kerajaan diketuai bilionair, Elon Musk.
Protes dinamakan ‘Hari Bukan Presiden Saya’ dan ‘Tiada Raja pada Hari Presiden’ itu adalah anjuran Pergerakan 50501. Ia merupakan sebuah pertubuhan yang diwujudkan untuk membantah dasar-dasar Trump.
Pengasas bersama dan pengarah eksekutif bersama kumpulan anti-Trump tersebut, Leah Greenberg berkata: “Kami menentang Trump dan kami berjuang untuk negara ini.”
Bercakap kepada sekumpulan penunjuk perasaan yang membawa bendera Amerika dan sepanduk, Greenberg dan berpuluh-puluh aktivis lain berucap pada protes itu.
Mereka membantah dasar-dasar Trump termasuk membekukan pembiayaan dan menghentikan operasi pelbagai agensi persekutuan dan penyelidikan awam, perlindungan sosial, keselamatan sosial serta program keselamatan alam sekitar, Medicaid.
“Ia menjadi fasisme apabila Trump memecat penjawat awam yang sebelum itu menyiasatnya, lalu berterusan apabila beliau mula menutup agensi persekutuan tanpa kelulusan Kongres.
“Keadaan itu mencapai tahap sukar dibendung kerana beliau memberi kuasa kepada Elon Musk, seorang warganegara persendirian yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ini, untuk mencuri data kami dan memusnahkan kerajaan seperti dia memusnahkan Twitter (X),” kata seorang aktivis, Carlos Alvarez-Aranyos. – AGENSI