DUBAI – Keadaan Emma Raducanu dalam mengurus tekanan semakin membimbangkan selepas bintang Britain itu menangis ketika berdepan Karolina Muchova dalam aksi pusingan kedua Kejohanan Tenis Dubai pagi tadi.
Raducanu, 22, yang menerima wildcard pada kejohanan tersebut tewas 6-7 (6/8), 4-6 kepada pemain Republik Czech itu dalam perlawanan sengit berlangsung di Pusat Tenis Aviation Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
Namun, insiden lebih mencuri perhatian berlaku pada awal perlawanan apabila Raducanu menangis dan sukar bernafas selepas Muchova mematahkan servisnya untuk mendahului 2-0.
Raducanu berada di belakang kerusi pengadil dan dilihat gagal mengawal perasaan sebelum menangis sehinggakan dia turut ditenangkan oleh Muchova.
Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan di kalangan peminat dan pemerhati sukan tenis, lebih-lebih lagi selepas Raducanu sebelum ini bergelut dengan kecederaan dan prestasi tidak menentu.
Meskipun berada dalam keadaan emosi yang terganggu, Raducanu tetap meneruskan perlawanan dan cuba bangkit selepas ketinggalan 0-4.
Sehingga kini, Raducanu masih belum memberikan penjelasan mengenai insiden yang berlaku di atas gelanggang biarpun ketika ini spekulasi mula timbul sama ada tekanan tinggi dan ketidaktentuan prestasinya menjadi punca dia hilang kawalan emosi.
Biarpun tersingkir di pusingan kedua, aksi Raducanu di Dubai tetap menunjukkan peningkatan dari segi permainan, terutamanya dari segi servis. – AGENSI