PETALING JAYA – Seorang pegawai tentera, Mejar Mohd. Zainuddin Ishak yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya, malam Ahad lalu, ditemui selamat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata, Mohd. Zainuddin dijumpai di sebuah masjid di Karak, Pahang.
“Orang hilang (OH) ditemui selamat di sebuah masjid di Karak, Pahang. Maklumat lanjut akan menyusul,” katanya ringkas menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, seorang pemilik Facebook, Abu Mikhail Mohd Fauzi, memuat naik hantaran meminta bantuan orang ramai untuk mengesan abang iparnya yang dilaporkan hilang.
Mohd Zainuddin dikatakan hilang setelah kali terakhir dilihat menaiki sebuah Perodua Ativa dengan nombor plat kenderaan, VGU 3986, pada pukul 7 malam.
Susulan itu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan Mohd Zainuddin selepas didapati tidak hadir bertugas di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur.
Mohamad Lazim, berkata, laporan itu dibuat oleh seorang pegawai Kem Wardieburn pada jam 7.08 malam kelmarin di Balai Polis Jalan Tun Razak. – KOSMO! ONLINE