KOTA SAMARAHAN – Seorang lelaki berdepan hukuman penjara dan denda selepas dicekup kerana memiliki selaras senapang angin buatan sendiri.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Jaimi Husin berkata suspek berusia 44 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kota Samarahan di sebuah rumah rumah kampung di sini kira-kira pukul 10.40 pagi, kelmarin.
“Dalam serbuan Op Laras yang dijalankan hasil maklumat risikan, pasukan turut merampas selaras senapang angin buatan sendiri daripada suspek, dan semakan rekod kesalahan lampau turut mendapati suspek mempunyai dua kesalahan berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, Jaimi berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Beliau menambah, permohonan reman ke atas suspek telah diluluskan oleh Mahkamah Majistret Kota Samarahan selama empat hari bermula hari ini sehingga 22 Februari nanti.
“Siasatan masih menunggu laporan pakar persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak untuk menjalankan analisa barang kes yang dirampas. Sejurus laporan tersebut diperolehi, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak untuk arahan pendakwaan selanjutnya,” katanya.