PETALING JAYA – “Tak pandai nak bermain, tak pandai nak hiburkan diri sendiri tanpa gajet. Lima tahun tapi ucapan masih sepatah-sepatah, tak pandai nak makan sendiri dan tak pandai urus diri.”
Itu sebahagian daripada keluhan para pengusaha dan guru tadika yang rata-rata mengatakan kanak-kanak yang dihantar ke tadika sekarang perangainya ‘pelik-pelik’.
Ia dikongsikan menerusi hantaran oleh Mohamad Jamalee yang kini kembali tular di media sosial.
Antara perangai pelik lain yang disenaraikan adalah, ada dalam kalangan kanak-kanak berkenaan masih memakai lampin pakai buang dan tidak mampu mengesan bahaya.
“Sensory seeking (mencari rangsangan deria) yang pelik untuk umur lima tahun seperti menjilat gam, bakul sampah, atau cat air.
“Tak sedar perasaan orang lain, kurang empati. Kalau terlanggar orang, jadi? Tak tahu nak buat apa. Kemahiran motor halus juga sangat lemah, jari jemari jadi keras, mungkin kesan daripada gajet yang lama,” katanya.
Selain itu, individu berkenaan turut dimaklumkan, ada kanak-kanak yang menegur para guru dengan panggilan ‘hoi’ ketika datang ke sekolah pada minggu pertama.
“Terkejut kami minggu pertama sekolah, datang sekolah dengan ‘hoi!’. Semua cikgu di ‘hoi’ kan dia.
“Cara bermain yang membuli, pijak orang, sepak orang, lempang orang, macam adegan dalam YouTube,” katanya.
Perkongsiannya itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-rata bersetuju dengan isu yang diutarakannya itu.
“Bukan benda baru pun. Jangan terkejut apabila baca dan inilah realiti yang guru-guru dari peringkat tadika hingga menengah kena hadapi,” ujar Nurdini Olivia.
“Tak semua macam itu, atas didikan mak bapa dekat rumah. Kalau elok didikannya, tentu tak susah cikgu di sekolah. Zaman sekarang cikgu pun boleh tahan sibuk dengan gajet,” komen Hendon Hassan.
“Sebab terlalu manjakan anak. Tak beri berdikari sendiri, biarkan main ‘handphone’ 24 jam. Macam itu la jadinya,” tambah netizen yang lain. – KOSMO! ONLINE