fbpx

‘Masih terngiang-ngiang suara pak cik Nor kesakitan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD HANIFF menerima sijil penghargaan daripada Siti Rohani pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor, Johor Bahru hari ini. Foto BAZLAN IBRAHIM/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Meskipun sudah lebih lima bulan episod menyayat hati insiden menimpa sepasang suami isteri bersama cucu meninggal dunia dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar namun peristiwa hitam itu masih segar dalam ingatan seorang peniaga.

Muhamad Haniff Tumiran, 29, yang merupakan antara individu pertama yang datang cuba menyelamatkan nyawa Allahyarham Mohamed Nor Mohamed Yassin dan isteri, Ara Hamid serta cucu pasangan itu, Noradriana Nor Hisyam.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi, 9 Ogos tahun lalu, dia berada di rumah keluarganya sedang memotong buah-buahan di bahagian dapur ternampak cahaya api terang datang dari bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan.

“Saya terus keluar rumah dan mendapati kebakaran berlaku ke atas rumah pak cik Nor yang terletak di sebelah sekolah itu, masa itu kebakaran sudah hampir 90 peratus rumah habis hangus. Saya kemudian terus ke bahagian belakang rumah dan mendapati tiga beranak terperangkap di bahagian dapur.

“Terdengar suara pak cik Nor mengerang kesakitan, saya nampak badan dia sudah terbakar, saya tak sempat tarik dia, saya sempat tarik keluar cucu dia, masa tarik Allah sahaja yang tahu sampai tersiat kulit dia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor di Ibu Pejabat JBPM Johor di sini hari ini.

Keberanian Muhamad Haniff dalam menyelamatkan mangsa kebakaran itu mendapat perhatian jabatan bomba sekali gus menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengarah JBPM Negeri Johor, Siti Rohani Nadir.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, Mohamed Nor, 82 dan Ara, 76, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Noradriana, 11, menghembus nafas terakhir ketika mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, polis mengklasifikasikan kematian tiga beranak itu sebagai kes bunuh selepas hasil laporan bedah siasat ketiga-tiga mangsa terdapat unsur-unsur jenayah.

Dalam pada itu, keberanian seorang jurutera projek perumahan, Iqxbal Shafiq Zulkefli, 32, sanggup merisikokan nyawanya terjun ke dalam kolam ikan untuk menyelamatkan pelajar lelaki berusia 23 tahun yang lemas ketika mandi mendapat penghargaan daripada JBPM Negeri Johor.

Menurutnya, ketika kejadian pada 3 Jun tahun lalu, dia sedang rehat di kawasan tapak perkhemahan Agro Farm Aminah Rahmat, Jalan Mahang, Felda Chemplak, Labis, Segamat.

“Saya dengar suara kecoh dan terus ke tempat kejadian sebelum mendapati ada seorang pelajar lelaki lemas, saya terus terjun dan bawa naik mangsa.

“Saya melakukan bantuan pernafasan ataupun resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun terkilan tidak dapat menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI