fbpx

‘Mak jual tanah untuk rawat saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sufi di samping Noraini ketika ditemui di rumah keluarganya di Jitra, hari ini.

JITRA – Kasih ibu bawa ke syurga. Demikian kasih seorang warga emas, Noraini Ishak, 71, yang sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga anaknya, Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, yang sakit setelah terlibat dalam kemalangan, dua tahun lepas.

Muhammad Sufi yang tular di media sosial baru-baru ini ekoran penderitaannya kerana kehilangan separuh tempurung kepala akibat kemalangan itu mengakui kecewa namun reda.

“Mak sanggup jual tanah dan habiskan wang simpanannya demi jaga saya sejak kemalangan itu sedangkan saya sepatutnya jaga dia, sebab itu saya cuba hidup seperti biasa buat kerja yang patut termasuk jual daging salai. Saya nak balas jasa mak,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di sini hari ini.

Kisah Muhammad Sufi meraih perhatian rakyat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila akaun media sosialnya yang memaparkan bahawa dia memerlukan wang sebanyak RM15,000 bagi pembedahan kelimanya untuk memasang implan tempurung kepala pada 9 Mac depan.

Bercerita lanjut, Muhammad Sufi yang juga seorang penjawat awam itu memberitahu, dia berterima kasih kepada mereka yang menghulurkan sumbangan tersebut.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, kemalangan tersebut berlaku pada 2023 ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah setelah bertemu dengan rakannya di Tanah Merah, dekat sini.

“Waktu itu pukul 3 pagi dan motosikal saya terbabas. Topi keledar saya tertanggal mengakibatkan kepala saya terhantuk pada tar jalan raya. Kepala saya cedera parah termasuk retak tempurung. Selain itu tangan kiri saya juga lumpuh,” katanya.

Katanya, sejak kemalangan dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ibunya itu terutama selepas bercerai pada Mei tahun lepas.

“Saya terpaksa melepaskan bekas isteri agar dia mulakan hidup baharu walaupun berat hati kerana anak saya berusia lima tahun, cuma saya berharap dia tidak berpindah kembali ke Tawau (Sabah) kerana sukar lagi untuk saya bertemu dengan anak saya nanti,” harapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI