DENGKIL – Pelaksanaan perluasan larangan pergerakan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada waktu puncak di beberapa jajaran lebuh raya terpilih sekitar Lembah Klang yang bermula hari ini terbukti berjaya mengurangkan kadar kesesakan sehingga 30 peratus.
Pegawai Turus Lebuh Raya Zon Tengah B, Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Amir Che Ya menjelaskan, pemantauan pihaknya bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) aliran trafik bergerak lebih lancar daripada sebelumnya.
“Jika sebelum ini had kelajuan bagi beberapa kawasan hanya sekitar 10 hingga 15 kilometer/jam (KM/J), namun hari ini boleh dikatakan sudah menunjukkan kenderaan boleh bergerak 40 hingga 50 KM/J.
“Usaha ini dilihat memberikan hasil malah kadar kesesakan dilihat mampu dikurangkan sehingga 30 peratus apabila tiada kenderaan berat masuk ke lebuh raya pada waktu puncak, ini menunjukkan pemandu kenderaan berat berjaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan diharap ia akan berterusan.
“Usaha ini bukan bertujuan untuk menganiayai pemandu kenderaan berat, tetapi lebih kepada memberi keselesaan kepada semua pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan lokasi bersama media di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Utara hari ini.
Terdahulu, larangan pergerakan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada waktu puncak di beberapa jajaran lebuh raya terpilih di sekitar Lembah Klang, berkuatkuasa Isnin hingga Jumaat (kecuali hari kelepasan am) bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam bertujuan menjamin keselamatan selain melancarkan pergerakan trafik.
Lebuh raya yang terbabit dengan larangan itu adalah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Amir berkata, setakat pemantauan pagi tadi, tiada kenderaan berat yang dikesan memasuki lebuh raya dan jika ada, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana gagal mengikut arahan dan tanda lalu lintas.
Sementara itu, bagi Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd. Yusof Abdul Aziz berkata, pada 12 Februari lalu, pihaknya mengadakan taklimat kepada syarikat yang mempunyai kenderaan berat dan ramai yang bersetuju dengan usaha yang dilakukan PLUS itu.
“Mereka faham kerana tahu ia bertujuan untuk kebaikan bersama selain untuk membantu mengurangkan masalah trafik di beberapa jajaran terutama pada waktu puncak,” katanya. -KOSMO! ONLINE.