KEMAMAN – Polis Terengganu mencadangkan enam suspek kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) mental di Pasar Pagi Padang Astaka di sini pada bulan lalu turut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan selain Seksyen 147 akta sama.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, cadangan tersebut telah diajukan sewaktu kertas siasatan kes tersebut dihantar semula kepada Pejabat Pendakwa Raya pada 5 Februari lalu.
Beliau berkata, cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan itu berikutan penemuan bukti baharu termasuk laporan perubatan mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau Paijang.
“Laporan perubatan mangsa terlibat (Paijang) telah kita terima daripada Kementerian Kesihatan dan kita telah menghantar semula kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (pada 5 Februari lalu)
“Kita cadangkan dua pertuduhan (Seksyen 323 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan) terhadap keenam-enam suspek dan masih menunggu arahan selanjutnya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE