JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyogok pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada Mac tahun lalu.
Tertuduh, Chong Kin Yeong, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Dia didakwa memberikan suapan RM4,000 kepada pembantu penguat kuasa MBIP untuk tidak menyita mesin di premis TL Toy Happy Fan di Taman Sutera Utama, Skudai di sini pada pukul 10.30 malam, 21 Mac 2024.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ameera D’Aneez Mohd. Shukari tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.
Peguam Wong Joon Wye memberitahu, anak guamnya memberi kerjasama kepada SPRM dan tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor sebulan sekali, selain pasport antarabangsa diserah ke mahkamah. Sebutan semula kes pada 19 Mac ini. – KOSMO! ONLINE