KUALA LUMPUR – Kumpulan kongsi gelap dikenali Geng 360 Devan yang memiliki 110 ahli menguasai aktiviti pengedaran dadah dari kawasan selatan ke Pulau Pinang.
Perkara itu didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menyampaikan penyataan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun kata Saifuddin, seramai 82 ahli kumpulan itu berjaya ditahan dengan 63 daripada mereka dituduh di mahkamah dan sudah disabitkan.
“Seorang lagi dituduh mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.
Penyataan itu dibuat bagi menjelaskan kepada Dewan Rakyat tentang hala tuju penambahbaikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata, sebanyak 72 pertubuhan kongsi gelap diisytihar menyalahi undang-undang dan disenaraikan di bawah Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966.
Menurut beliau, penyenaraian itu kerana memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam antaranya terbabit dalam pengedaran dadah, penyeludupan migran dan pelacuran.
Pertubuhan kongsi gelap lain yang dikenal pasti seperti Geng Emi Keju, Geng Jackie serta Geng Otong dan Seksyen 5(1) Akta 832 memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan mana-mana pertubuhan menyalahi undang-undang.
Sejak 2020 hingga kini, seramai 3,452 individu ditahan di bawah SOSMA dengan 2,208 daripada mereka atau 64 peratus dituduh di mahkamah, manakala 884 atau 30 peratus dibebaskan di bawah pertuduhan Akta 747 dan disiasat di bawah POCA. – KOSMO! ONLINE