LIVERPOOL – Kapten Liverpool, Virgil van Dijk mendakwa pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mampu mengendalikan tekanan yang semakin meningkat dalam perebutan kejuaraan menjelang aksi menentang Aston Villa awal pagi esok.
Skuad kendalian Arne Slot itu ketika ini berada tujuh mata di hadapan Arsenal di tangga kedua selepas mengharungi babak kedua yang kurang meyakinkan ketika menang 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers kelmarin.
Selepas melepaskan gol penyamaan pada masa kecederaan ketika bertemu Everton sebelum ini, kegelisahan jelas dirasai dalam kem Liverpool yang kini berusaha mempertahankan kelebihan mereka di puncak liga.
Van Dijk memahami kebimbangan dalam kalangan penyokong dan pemain pertahanan tengah dari Belanda itu menjangkakan lebih banyak drama akan berlaku ketika Liverpool semakin hampir untuk menyamai rekod kejuaraan liga buat ke-20.
“Kita semua manusia dan saya benar-benar faham perasaan cemas atau gementar boleh muncul. Namun, kami hanya perlu bersedia dan menikmati cabaran ini. Akan ada banyak kejutan dan perubahan.
“Anda perlu bersedia kerana beberapa bulan akan datang akan menjadi lebih sukar tetapi saya yakin kami sudah bersedia sebagai sebuah pasukan.
“Kami akan memberikan segala-galanya dan dalam tempoh 13 perlawanan lagi, kita akan lihat sama ada usaha kami sudah mencukupi,” katanya.
Liverpool berpeluang melebarkan jurang pendahuluan kepada 10 mata jika memenangi aksi di Villa Park awal pagi esok. – AGENSI