LONDON – Formula Satu (F1) mungkin tidak lagi bakal dimonopoli oleh Max Verstappen apabila bekas pelumba, Tim Coronel meramalkan Lando Norris dari McLaren bakal mendominasi aksi musim 2025.
Meskipun Verstappen merangkul kejuaraan dunia keempat berturut-turut pada 2024, pasukan Red Bull mengalami penurunan prestasi ketika pertengahan musim lalu, membolehkan Norris merapatkan jurang.
Bagaimanapun, kelebihan awal dimiliki Verstappen cukup untuk mengekalkan kejuaraannya, namun musim 2025 dijangka mencabar dan lebih terbuka menyebabkan Coronel percaya era pemandu Belanda itu mungkin bakal berakhir lebih awal.
Bagi Coronel, McLaren berada pada landasan tepat untuk menjadi pasukan terbaik dan Norris mempunyai pakej lengkap untuk menyaingi Verstappen.
“Anda hanya sebagus perlumbaan terakhir dan dia (Norris) memang luar biasa. Kita lihat dalam perlumbaan di Abu Dhabi, Carlos Sainz cuba membuat gerakan tetapi Norris mampu mengejar semula.
“Dia memang memiliki apa yang diperlukan untuk menang. Jika tidak berada di bawah tekanan yang terlalu besar, dia boleh melakukan tugasnya dengan baik,” katanya.
Baru-baru ini, Norris menyatakan kesediaannya untuk bertempur habis-habisan dan Coronel percaya pendekatan lebih agresif musim ini boleh memberinya kelebihan untuk membina momentum sejak awal saingan.
“Pada separuh kedua musim lalu, Verstappen mempamerkan kebijaksanaannya dan bernasib baik dalam beberapa situasi, memastikan Norris tidak dapat mengejarnya dengan cepat,” ujar Coronel. – AGENSI